Al kisah abang memberi ingat kepada adik.
Bismillahi Rahman Rahim
Wabihi Nastainu Billahi Ta'ala
Bismillahi Rahman Rahim
Wabihi Nastainu Billahi Ta'ala
Dengarlah adik, abang berpesan
Jangan adik menurut perasaan
Pilih pasangan hendak fikirkan
Baik buruk harap bezakan
Dengarlah pesanan segala orang tua
Mengikut adat segala penggawa
Semoga hidup mudah ketawa
Agar dijauhi segala rawa
Jangan dipilih rupa semata
Atau dipandang kepada harta
Jangan tertipu pada kata
Lelaki sebegitu ramai di kota
Pilihlah yang dapat membantu diri
Semua lengkap lagi berseri
Kerana melihat sehari-hari
Nantikan jemu tidak terperi
Pilihlah mereka yang teguh imannya
Dapat membantu jika lalainya
Anak dididik sempurna segalanya
Ketua keluarga besar tanggungannya
Biarlah yang berilmu luas di dada
Fikiran sempurna semua ada
Tidak dungu, biolnya tiada
Kambing dilihat disangka kuda
Pilihlah yang mampu memberi pakai
Jangan dipilih terlalu pokai
Nantikan hidup seperti sakai
Adik hidup menanggung bangkai
Yang bengis pula jangan dipilih
Itu penyakit yang tidak pulih
Ada sahaja yang jadi dalih
Maki hamun tidak tersisih
Jangan dipilih terlalu melawak
Segala dilihat semua digelak
Masalah semua dia mengelak
Adik tersiksa nanti melalak
Terlalu cemburu jauhi diri
Nanti terlalu mengongkongkan diri
Ditanya ditengking sehari-hari
Siksa ditanggung tidak terperi
Anak yang besar jangan diambil
Segala ditanya terkebil-kebil
Segala perbuatan terlalu babil
Tidak terbayar segala bil
Pilih biar ada parasnya
Harta ada untuk tanggungannya
Keturunan mulia tiada aibnya
Ugama ada cukup lengkapnya
Yang paling baik ugama sempurna
Jadi pembimbing di dunia fana
Keluarga dibimbing cukup kena
Cakapnya penuh memberi makna
Hanya itu abang berpesan
Peringatan sebagai seorang insan
Semoga dapat memberi kesan
Hidup bahagia sentosa akan
Bukan mengata yang bukan-bukan
Nasihat ikhlas yang abang berikan
Kebahagian adik abang tekankan
Cemburu dan dengki minta jauhkan
Sekian sahaja penutup kata
Yang ditulis bukan betul semata
Kalau ada tersilap kata Jangan pula dihina nista
Walau tidak terlihat di mata Menjunjung kasih semata-mata
Walau tidak terlihat di mata Menjunjung kasih semata-mata
Ampuni segala rata-rata Doa sentosa turut serta
Nasihat abang sudahlah tamat Di dalam hati harap disemat Mana yang baik diikut amat 9 Safar 1424 tamat
Tamatlah pesan seorang abang
Wasalam dari saya.
TAMAT
1 komentar:
ini puisi ada di buku cetak b.ind kelas 9. keren
Posting Komentar